Anggur pula dicemari jarum di Australia

Jarum ditemui dalam anggur – FOTO 9 News Australia

MELBOURNE: Polis Australia melancarkan siasatan selepas jarum ditemui pada anggur yang dibeli dari pasar raya di Melbourne.

Skender Hasa dan pasangannya, Shams Alsubaiy, sedang menikmati anggur hijau tanpa biji selepas makan malam Selasa lalu apabila Alsubaiy yang hamil mengambil anggur berkenaan.

“Apabila membelahnya, kami mendapati ada jarum di dalam buah itu,” kata Hasa kepada saluran 9 News Melbourne, Rabu lalu.

Katanya, anggur itu dibeli sehari sebelum itu dari cawangan pasar raya Woolsworth di Cragieburn.

Dua jarum ditemui selepas pasangan itu membelah semua anggur di dalam beg.

“Saya terkejut dan takut. Saya sangkakan kejadian itu sudah berakhir,” kata Hasa, merujuk kes pencemaran strawberi.

Sementara Alsubaiy bersyukur kerana tidak memakannya.

“Saya hamil dan tidak mahu sesuatu berlaku,” katanya, menambah kejadian itu membuatkan mereka gementar dan mungkin tidak akan memakan anggur untuk beberapa bulan.

Polis mengesahkan kejadian itu sedang disiasat, manakala Woolsworth berkata dalam kenyataan pihaknya menyedari perkara itu dan ‘akan bekerjasama dengan pihak berkuasa ketika siasatan dilakukan’.

Kejadian berlaku selepas siri pencemaran buah September lalu apabila lebih 200 kes jarum tersembunyi dalam strawberi dilaporkan di Australia.

Krisis itu menyebabkan pasar raya besar di Australia dan New Zealand menarik balik jualan strawberi, peladang mengurangkan pengeluaran dan mendorong Perdana Menteri Australia menyifatkan sabotaj itu sebagai ‘keganasan’.

November lalu, wanita berusia 50 tahun yang pernah bekerja di salah sebuah ladang strawberi ditahan dan didakwa mencemarkan makanan itu. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *