Wanita koma puluhan tahun lahir bayi

NEW YORK: Polis Phoenix sedang menyiasat laporan serangan seksual ke atas seorang wanita yang melahirkan seorang anak, walaupun berada di dalam keadaan koma sejak beberapa dekad lalu di sebuah hospital.

Gambar Hiasan

Menurut media tempatan, wanita itu dirawat di Pusat Penjagaan Kesihatan Hacienda (Hacienda) selepas terbabit dalam insiden lemas yang mengakibatkan beliau hilang keupayaan.

Wanita itu dilaporkan melahirkan seorang bayi lelaki pada 29 Disember lalu.

Laporan itu juga menyebut, tiada siapa yang mengetahui bahawa beliau sedang hamil dan kakitangan pusat penjagaan kesihatan itu pada awalnya agak terkejut apabila mendengar wanita itu mula mengerang.

“Perkara ini sedang dalam disiasat Jabatan Polis Phoenix,” kata Sarjan Tommy Thompson kepada Reuters ketika diminta mengulas mengenai laporan media itu.

Jurucakap Hacienda, David Leibowitz, berkata pusat penjagaan itu menyedari berlakunya satu insiden membabitkan salah seorang penghuninya.

Namun, beliau enggan mengulas sama ada kakitangannya diarah untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti suspek, atau sekiranya pusat penjagaan sudah mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak kejadian itu daripada berulang lagi.

“Walaupun undang-undang hak peribadi persekutuan dan negeri menghalang kami daripada membincangkan hal ehwal kesihatan pesakit secara terbuka atau mana-mana kes, Hacienda akan serta sentiasa memberi kerjasama penuh dengan penguatkuasa undang-undang, selain agensi kawal selia terbabit berhubung perkara ini,” kata Leibowitz menerusi e-mel.

Sementara itu, peguam mangsa, Tasha Menaker, berkata pihak polis sepatutnya mengadakan ujian DNA ke atas semua kakitangan lelaki di Hacienda. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *