Kira-kira 590 sekolah daif di Sabah akan dinaik taraf secara berperingkat

KOTA KINABALU, 6 Jan – Kira-kira 590 sekolah daif di Sabah akan dinaik taraf secara berperingkat bergantung kepada keadaan kewangan kerajaan, kata Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri Datuk Dr Yusof Yacob.

Yusof berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 707 sekolah daif dikenal pasti di Sabah yang memerlukan pembaikan berikutan struktur bangunan kayu atau usang manakala 120 sekolah daif telah dinaik taraf pada tahun lepas.

“Saya mengambil berat perkara ini kerana jika tidak diambil tindakan kita (Sabah) akan jauh ketinggalan dari segi suasana pembelajaran; infrastruktur; kemudahan dan ekosistem pembelajaran.

“Bagaimanapun, usaha menaik taraf sekolah daif terbabit bergantung kepada kewangan (kerajaan), tetapi (keadaan kewangan) itu bukanlah alasan dan kita mesti melihat perkara ini sebagai keutamaan supaya ia dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Krismas anjuran Parti Warisan Sabah (Warisan) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Presiden Warisan bersama isteri Datin Seri Shuryani Shuib dan kepimpinan tertinggi parti itu.

Yusof berkata, kementeriannya komited mengatasi masalah sekolah daif di Sabah secara efisien termasuk memastikan kemudahan seperti bekalan air, elektrik, jalan raya serta internet disediakan di semua sekolah dan masalah sekolah menampung lebih kapasiti pelajar.

— BERNAMA

177