Pelebaran sayap BERSATU ke Sabah ditentukan dalam tempoh sebulan

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung pelebaran sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke Sabah akan ditentukan dalam tempoh sebulan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perbincangan berkaitan isu terbabit sedang berlangsung.

“Biarlah Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan rakan-rakannya berunding dengan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor.

“Tempoh munasabah untuk rundingan dalam sebulan atau sebulan lebih….beliau (Shafie) akan maklumkan keputusan supaya kita boleh fikirkan langkah seterusnya yang bakal diambil,” katanya di ibu pejabat BERSATU, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada isu berhubung pelebaran sayap ke Sabah akan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung BERSATU yang akan berlangsung dari 28 sehingga 30 Disember ini.

Terdahulu, Muhyiddin berkata beliau sudah bertemu dengan Shafie dan berjanji sayap BERSATU tidak akan dikembangkan ke Sabah kerana parti itu mahu WARISAN menjadi tempat naungan rakyat.

“Saya kata, kalau beliau (Shafie) boleh masukkan semua dalam WARISAN, kerja saya selesai.

“Ini perlu supaya tiada pertembungan dari segi kepentingan antara parti pro Pakatan Harapan (PH).

“Kita ingin pertahankan dan perkukuh WARISAN di Sabah, bukannya nak berebut kerusi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pihaknya berhati-hati mempertimbangkan keperluan untuk menubuhkan lebih banyak cawangan BERSATU di Sarawak.

“Sekarang sudah ada DAP, PKR, AMANAH dan kita adalah parti keempat di sana.

“Untuk tubuhkan satu dua bahagian, boleh…tetapi kita tak ada niat untuk kembangkan sayap ke seluruh Sarawak sebab negeri itu besar, tak mudah untuk uruskan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *