United pecat Mourinho

LONDON: Manchester United memecat pengendalinya, Jose Mourinho berikutan persembahan longlai yang ditampilkan kelab itu musim ini, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu, hari ini.

United mengharungi permulaan terburuk dalam saingan liga selepas 28 tahun dan tumbang 1-3 kepada seteru tradisi, Liverpoool, awal pagi Ahad lalu yang menjadi perlawanan terakhir Mourinho di kelab berkenaan.

“Manchester United mengumumkan pengurus Jose Mourinho meninggalkan kelab dengan serta merta,” kata United dalam kenyataan berkenaan.

“Kelab mahu mengucapkan terima kasih kepada Jose atas kerja yang dilakukannya ketika bersama Manchester United dan mengucapkan selamat berjaya untuknya pada masa depan.

“Seorang pengurus sementara akan dilantik sehingga penghujung musim ini, dengan kelab akan menjalankan proses pencarian untuk pengurus sepenuh masa yang baharu.”

United ketika ini menghuni tangga keenam liga selepas mengutip 26 mata daripada 17 perlawanan, ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu Liverpool.

Mourinho menjulang trofi Liga Europa dan Piala Liga pada kempen 2016/17 sebelum mengemudi pasukan itu ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris musim lalu dan mara ke final Piala FA. – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *