ADUN Kuamut Datuk Masiung Banah Sertai WARISAN

Loretto (dua dari kanan) menerima borang permohonan keahlian daripada Masiung (empat dari kanan) disaksikan oleh Peter (tiga dari kiri). Turut kelihatan Adun Kemabong Jamawi Jaafar (kanan). Gambar sumber media sosial

TENOM: Parti Warisan Sabah mendapat tambahan satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri menjadikan semuanya 29 dengan kemasukan  Ahli Dewan Undangan Kuamut Datuk Masiung Banah hari ini.

Masiung menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Setiausaha Agung Warisan Loretto Sipin Padua Jr dan disaksikan oleh Naib Presiden Datuk Peter Anthony di Dewan Masyarakat di sini.

Menurut Masiung, beliau sepatutnya memerlukan dua atau tiga bulan untuk memikirkan keputusan tersebut selepas keluar daripada Upko pada 24 November lalu.

“Tapi berdasarkan kepada keadaan politik semasa yang begitu pantas, saya rasa tidak adil kepada rakyat Kuamut untuk kita melengah lengahkan keputusan ini,” katanya apabila ditemui selepas majlis penyerahan borang keahlian.

Katanya keputusan pilihanraya lepas jelas menunjukkan bahawa rakyat Sabah inginkan parti yang memayungi semua kaum dan mana mana parti yang berasaskan kesukuan kemungkinan besar tidak akan mendapat tempat di hati rakyat di masa-masa akan datang.

“Oleh itu kita harus membuat pilihan yang bijak untuk memilih parti yang mewakili semua kaum iaitu Warisan,” katanya.

Masiung berkata bersama-sama beliau hari ini adalah 25 orang daripada 30 AJK bahagian Upko Kinabatangan, 30 orang daripada 30 AJK Wanita bahagian, 15 orang daripada 30 AJK Pemuda bahagian, 28 orang daripada 30 AJK Komulakan bahagian dan 94 daripada 100 cawangan Upko Kinabatangan.

Turut bersama, katanya ialah pemimpin utama Umno di Kuamut iaitu Majid Lindan dan juga Ketua Bahagian PBS Kuamut Awang Gariman beserta timbalannya.

“Saya berharap permohonan kami akan diterima oleh Warisan dan selepas itu kita akan menjelajah ke seluruh kawasan untuk memberi penerangan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur menyifatkan kemasukan Masiung sebagai satu kejutan.

“Kita ucapkan terimakasih kepada beliau kerana bersama sama dengan kita. Seperti yg beliau katakan, rakyat menerima parti yang multi-racial (berbagai kaum) seperti Warisan.

“Mudah mudahan kita boleh bekerjasama dengan baik demi kebaikan rakyat. Diharapkan ramai lagi akan turut menyertai kita dalam Warisan,” katanya.

Loretto ketika ditemui berkata perkembangan ini menunjukkan semakin ramai yakin terhadap Warisan dibawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau juga menekankan bahawa Masiung adalah Adun Bebas yang kemudiannya memohon menyertai Warisan.

Katanya Masiung dan rakan-rakan akan menjalani proses sama seperti yang lain.

“Selepas itu kita akan bagi nombor keahlian kepada mereka,” katanya.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *