Empat pengedar dadah antara 105 ditahan di Kampung Bangau-Bangau

SEMPORNA, 18 Dis – Empat pengedar antara 105 individu yang ditahan polis atas kesalahan dadah dalam serbuan di sarang penagih di Kampung Bangau-Bangau di sini.

SEKADAR GAMBAR HIASAN

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata Ops Sarang yang bermula 5.30 pagi semalam hingga 2.30 petang tadi melibatkan 54 pegawai dan 233 anggota daripada semua elemen khas polis.

Selain merampas dadah dipercayai jenis syabu dengan nilai keseluruhan kira-kira RM15,700, polis turut menyita selaras senjata api dan lapan butir peluru hidup daripada seorang lelaki berusia 55 tahun yang memilikinya tanpa lesen, katanya kepada pemberita di sini.

“Turut ditahan 24 pendatang asing tanpa izin terdiri daripada seorang wanita dan 23 lelaki berumur lingkungan 20 hingga 40-an,” katanya lagi.

Zaini berkata  Ops Sarang akan diteruskan secara agresif dan pihaknya akan menggempur sarang penagih dadah di kawasan lain secara berfasa.

“Orang awam antara penyumbang maklumat penting diperlukan polis bagi menggempur sarang penagih dadah di Sabah,” katanya .

– BERNAMA

360