Darell yakin Tun M, Muhyiddin berpegang dengan janji


PENAMPANG: Parti Warisan Sabah (WARISAN) yakin Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal berpegang dengan janji mereka untuk tidak membawa masuk parti itu ke Sabah seperti dipersetujui sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

TIMBALAN Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking 

Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking, berkata walaupun persefahaman itu dibuat secara tidak bertulis, ia kekal dan masih menjadi asas hubungan di antara WARISAN dan BERSATU.

“Saya mahu tegaskan bahawa kita (WARISAN) ada persefahaman dengan BERSATU, walaupun secara tidak bertulis yang disuarakan Muhyiddin dan Tun M sebelum pilihan raya lalu.

“Jadi kita kekal dengan keadaan itu. Kita (WARISAN) berjuang secara bebas tetapi menyokong PH dan akhirnya kita dapat mengambil alih kerajaan pada Mei lalu. Selepas itu, keadaan baik saja (kerjasama dengan PH,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Natal di Buhavan Square, Donggongon, di sini, sebentar tadi.

Darell yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata demikian ketika diminta mengulas usul untuk membawa masuk BERSATU ke Sabah seperti diluluskan pada Persidangan Tahunan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), hari ini.

Mengulas lanjut, Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, usaha pihak terbabit dan pemimpin pembangkang lain menyuarakan hasrat membawa masuk BERSATU ke negeri ini adalah semata-mata untuk mempengaruhi Dr Mahathir dan Muhyiddin melanggar persefahaman yang dibuat dengan WARISAN sebelum ini.

“Saya setuju bahawa sesiapa saja ada hak (meminta BERSATU ke Sabah) dan saya tidak boleh halang mereka, tetapi mereka menggalakkan BERSATU untuk melanggar persefahaman dengan WARISAN.

“Namun saya yakin Tun M dan Muhyiddin tetap berpegang kepada janji walaupun ada orang yang cuba mempengaruhi mereka untuk melanggar persefahaman yang dibuat dengan WARISAN sebelum ini,” katanya.

Pagi tadi, Presiden Harapan Rakyat, Datuk Seri Lajim Ukin ketika sidang medianya selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan parti itu menegaskan bahawa tiada sebab untuk BERSATU tidak boleh dibawa masuk ke negeri ini kerana ia adalah proses demokrasi selain dapat memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

Sebelum ini, turut timbul khabar angin mengatakan 14 wakil rakyat UMNO Sabah yang keluar parti untuk menjadi wakil rakyat Bebas akan menyertai BERSATU apabila parti itu dikembangkan ke Sabah.

Terdahulu, Darell berkata, Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Natal bagi kawasan Parlimen Penampang itu adalah satu majlis untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan agama tanpa mengira pegangan politik.

Katanya, ia juga adalah satu cara beliau menemui rakyat di kawasannya walaupun sibuk dengan tugas di kementerian. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *