Biarpun filem Transformers sentuhan Michael Bay sentiasa berada di puncak dan pecah panggung di seluruh dunia, akan ada satu sudut jelas filem francais ini mampu menghasilkan sebuah cerita menyentuh hati.
Dalam ‘spinoff’ Bumblebee, kisah kewujudan robot Autobot berwarna kuning kesayangan ramai ini dilihat mampu memberi sedikit kisah dongeng menyentuh perasaan mengenai hubungan antara seorang remaja wanita dan robot.
Penceritaannya ada sedikit elemen filem ET dan persamaan itu sangat mudah dikesan kerana pengarah Bumblebee, Travis Knight mengakui karya ‘spinoff’ ini memang ada kaitan dengan pembikin filem legenda yang juga pencipta ET, Steven Spielberg.
“Idea asal filem Bumblebee sememang datang daripada Spielberg dan kita boleh berterima kasih kepadanya sehingga wujudnya filem ini,” kata Knight.
Spielberg yang bergelar penerbit eksekutif untuk filem Bumblebee dilihat mengambil peluang untuk penonton melihat kembali penceritaan latar watak itu yang menyentuh hati.
‘Spinoff’ kali ini mengambil latar era 80-an sebagai dedikasi ketika permainan karakter berkenaan hangat di pasaran pada ketika itu dan masa sama sebagai ‘tribute’ kepada siri klasik 1982.
Knight berkata, ketika mereka mengambil keputusan mengangkat era itu untuk Bumblebee, dia mahu mengambil peluang mengangkat filem yang disifatkan sangat bermakna buatnya ketika kanak-kanak.
Filem aksi ini fokus kepada watak Charlie Watson lakonan Hailee Steinfeld yang menemui sebuah kereta Volkswagon ‘Beetle’ warna kuning di sebuah tapak pelupusan kenderaan lalu cuba membaikinya.
Apabila Bumblebee mendedahkan diri kepada Charlie, mereka mula berkawan baik dan masa sama menjadi sasaran ejen kerajaan, terutama Ejen Burns lakonan John Cena dan pihak musuh, Decepticons.
Bercakap mengenai filem ini, pengarah sebenarnya mahu melihat seluruh filem Transformers berada di Cybertron malah dunia Transformers sudah pun ditunjukkan dalam semua lima filem jenama itu sebelum ini.
Menariknya, Transformers: The Last Knight tahun lalu maju selangkah dengan mengikut watak utama, Optimus Prime pulang ke planet asal tetapi malangnya dikawal oleh Quintessa sebaik saja tiba di situ.
Namun, kebanyakan filem Transformers sebelum ini menjadikan bumi sebagai latar belakang cerita.
Bagaimanapun, melalui Bumblebee, francais kali ini mula mencampur aduk elemen menarik dengan babak pembukaannya bermula dengan peperangan di Cybertron sebelum ia berpindah ke bumi pada 1987.
Dalam satu laporan, kumpulan penulis Transformers sudah memulakan pembangunan filem animasi penuh yang mengambil latar Cybertron sepenuhnya.
Peminat boleh mengharapkan Knight sebagai antara insan yang pastinya akan menyukai projek seperti ini dilahirkan, sama ada ia mengambil latar sebelum atau selepas peristiwa Bumblebee.
Ditanya sekiranya ada kemungkinan menghasilkan filem Transformers aksi hidup menggunakan latar penuh di Cybertron, pengarah berpendapat ia perlu dilakukan secara animasi.
“Jika benar, ia akan animasi sepenuhnya kerana pada permulaan filem ini pun menggunakan animasi. Seperti anda tahu, ia mempunyai pencahayaan dan tekstur aksi hidup (live action) dan saya mahu melihat filem itu.
“Ia adalah keterujaan terbesar saya dan dalam proses ini, menghidupkan Cybertron dan melihat ia jatuh, walaupun hanya sedikit, di situlah siri animasi lalu bermula.
“Kami mahu memulakan filem ini dengan sikap yang sama, untuk memberi penghormatan kepada peristiwa itu dan ia sangat menarik!” kata Knight.
Dia cuba ‘menyumbat’ banyak elemen penting ketika babak pembukaan dan disebabkan itu adalah jenis filem yang mahu ditonton, dia ingin filem seperti itu direalisasikan.
Walaupun Bumblebee saling berkait dengan siri filem Transformers lalu, pengarah turut mengambil keputusan untuk tidak menggunakan ‘footage’ daripada filem itu.
“Apabila bercakap mengenai pasukan kesan khas visual dan produser, ada beberapa perbincangan bahawa kami akan melangkau beberapa sudut dan menggunakan beberapa aset daripada filem sebelum ini untuk babak Cybertron.
“Setiap karakter yang anda lihat di babak pembukaan filem adalah model baru dan ia terpaksa direka serta dibina dengan bajet baru.
“Saya letak sebanyak mungkin sehinggalah ke satu tahap kehabisan bajet. Saya ingin memasukkan banyak lagi elemen di dalamnya tapi kami sudah melakukan terbaik,” katanya panjang lebar.
Dia turut berkongsi mengapa rekaan generasi satu sangat penting buatnya.
Baginya, ia adalah logik kerana jika mereka mahu bercerita mengenai kisah asal usul satu karakter penting dalam Transformers, ia perlulah bermula pada era karakter itu dilahirkan iaitu pada era 80-an.
Untuk melakukannya, mereka mengambil ruang ringkas tetapi masih cantik dan padu yang ada pada rekaan asal.
“Ia sangat menangkap perhatian dan saya masih ingat ketika zaman kanak-kanak kerana tidak pernah melihat karakter seperti itu sebelum ini.
“Bagi saya, kita sudah melihat sisi estetik yang spesifik selama 10 tahun lalu, baik dari segi rekaan dan apabila berfikir mengenainya, apakah yang akan buatkan ia nampak baru, segar serta padu?
“Disebabkan itulah saya berpendapat kembali ke rekaan asas dan memberi penghormatan adalah caranya,” kata Knight.
John Cena puas dapat berimaginasi
Bekas ahli gusti profesional, John Cena akui terpaksa menggunakan imaginasinya ketika babak bersama Bumblebee.
“Saya mendapat pengalaman menggunakan imaginasi dan ia adalah sesuatu yang istimewa. Kami dalam dunia persembahan dan semua orang ada cara sendiri yang berbeza.
“Tiada cara yang salah atau betul. Saya suka berimaginasi. Walaupun masih baru dan kurang pengalaman, saya berjaya melakukannya terutama berlakon dengan sesuatu yang tidak nampak,” katanya.
Katanya, jika menggunakan imaginasi, dia akan dapat semua benda dan apa saja yang ingin digunakan.
Ia menggalakkannya untuk mengambil risiko dan menemui dinamik berbeza yang mungkin tidak ditemui dalam perbualan biasa.
“Saya melihat sisi ini sebagai sesuatu yang positif,” katanya gembira.
Malah, apabila bercakap mengenai latar filem Bumblebee pada 1987, Cena dan pelakon lain dapat merasai sentuhan nostalgia melalui set yang dibina terutama dalam bilik tidur watak Charlie Watson.
Filem yang turut menampilkan pelakon seperti Hailee Steinfeld, Jorge Lendeborg Jr, Jason Drucke akan menemui peminat tempatan bermula 20 Disember ini. – myMetro