Anifah sahkan tubuh parti baharu berasaskan MA63

KOTA KINABALU: Bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan akan membentuk sebuah parti baharu tempatan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai agenda utama perjuangannya.

Anifah yang juga ahli Parlimen Kimanis, membuat pengesahan itu ketika ditanya NSTP mengenai kesahihan satu kenyataan yang dipercayai dikeluarkan oleh sumber yang rapat dengannya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut selain meminta untuk merujuk kenyataan yang dikeluarkan sumber terbabit.

Kenyataan itu turut mendakwa bahawa bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO itu tidak mahu menyertai mana-mana parti Semenanjung disebabkan oleh pengalaman peribadi beliau yang gagal mencapai hasrat tuntutan hak Sabah ketika bersama UMNO.

“Kepemimpinan parti peringkat nasional lebih cenderung kepada kepentingan anggota dan pemimpin di Semenanjung berbanding kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Sebarang perbincangan mengenai MA63 tidak diendahkan malah disekat,” kata sumber itu sambil menambah keputusan untuk menubuhkan parti berpusat di negeri ini memenuhi aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak.

Menurut sumber itu lagi, Anifah yang meletak jawatan untuk menjadi Ahli Parlimen bebas pada 19 September lalu juga ingin melihat semangat asal dan niat MA63 dihormati serta dilaksanakan dengan tulus sebagai asas kepada Persekutuan Malaysia yang progresif dan bersatu sebagaimana yang dibayangkan oleh pemimpin pada tahun 1963.

“Pelaksanaan MA63 tidak boleh lagi diabaikan kerana ia adalah intipati untuk memajukan Sabah dan Sarawak serta menikmati hak-hak sama rata dengan Persekutuan Tanah Melayu dari segi pembangunan,” katanya.

Sementara itu, berhubung gesaan Kerajaan Negeri Sarawak yang mahu menubuhkan Jawatankuasa Perundingan yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, sumber itu berkata Anifah percaya jawatankuasa itu akan memberi peluang kepada semua pihak untuk mengkaji dan menilai sama ada perjanjian itu sudah dicapai.

“Anifah menyedari betapa pentingnya kerajaan Persekutuan dalam membangunkan negara dan akan menyokong usaha serta dasar bagi mencapai matlamat demi kebaikan rakyat Malaysia.

“Ini adalah aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak untuk berjuang menerusi parti tempatan dan bukan dari parti Semenanjung Malaysia bagi mewakili mereka di Parlimen, kerana mereka tahu apa yang terbaik untuk rakyat mereka sendiri,” katanya. – Berita Harian

104