Beri Peluang Tokoh Suku Kaum Lain Sebagai TYT – ADUN Kiulu

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu memberi peluang kepada suku-suku kaum lain yang terdapat di Sabah dalam pelantikan Yang Dipertua Negeri (TYT).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu Datuk Datuk Joniston Bangkuai

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu Datuk Datuk Joniston Bangkuai berkata suku kaum lain yang terdapat di Sabah juga mempunyai tokoh dalam kalangan mereka yang berkelayakan menjawat jawatan TYT berkenaan.

“Saya rasa terpanggil untuk turut menyertai perbahasan ini kerana saya telah bertanya secara rambang kepada rakan-rakan di Kiulu. Rata-rata menyatakan tidak bersetuju dan mereka meminta saya untuk menyampaikan pandangan mereka bahawa kita tidak seharusnya menyokong pindaan tersebut kerana tidak membawa apa-apa manafaat.

“Mereka berkata, kita di Sabah mempunyai pelbagai kaum dan kita meraikan kepelbagaian ini.

“Maka sudah tentulah mereka ingin melihat tokoh-tokoh dari dalam kalangan kaum mereka untuk diberi peluang menjawat jawatan TYT ini,” katanya ketika membahaskan berkenaan pindaan semula Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah Perkara 2 fasal (3) yang menghadkan tempoh jawatan TYT kepada dua penggal di Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Khamis.

Jelasnya bagi membahaskan isu berkenaan, beliau tidak memperolehi sebab-sebab perlunya teruskan pindaan untuk seorang memengang jawatan TYT sepanjang hayat beliau.

“Saya berpendapat bahawa oleh kerana pindaan ini, ia tidak membawa sebarang keuntungan malahan akan memberi rasa kegusaran kepada suku kaum lain kerana menunggu lama peluang untuk menjadi TYT.

“Ia bukanlah satu isu gila jawatan, tetapi yang saya ingin sampaikan di Sabah ini, ramai tokoh-tokoh yang berjawatan dan berkelayakan, itu yang penting.

“Percayalah, itu bukan tujuan utama. Tidak akan ada orang gila kuasa kerana ia dicadangkan oleh Ketua Menteri sendiri,” jelasnya. -SabahNewsToday

168