Wanita, Puteri UMNO Sabah mahu tunggu dulu

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO Sabah mengambil pendirian untuk menangguhkan tindakan keluar parti yang diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hajiji Noor hari ini.

Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad, dalam kenyataannya sebentar tadi berkata pihaknya membuat ketetapan untuk mengambil tempoh bertenang sebelum membuat keputusan.

“Wanita UMNO negeri belum mengambil keputusan kerana Ketua Wanita Bahagian di Sabah perlu memberi penerangan kepada ahli jawatankuasa wanita bahagian masing-masing dan seterusnya kepada ahli wanita akar umbi.

“Wanita UMNO Bahagian akan membuat keputusan setelah selesai mengadakan perbincangan bersama ahli-ahli Wanita UMNO dan mendapat maklum balas daripada mereka dan akan beramai-ramai meletak jawatan jika perlu serta menghantar borang kepada pihak yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO negeri, Fadilah Sarbi, dalam kenyataannya turut mengambil pendirian yang sama meminta tempoh bertenang sebelum membuat keputusan rasmi.

“Dalam perkara ini, terpulang kepada Ketua-Ketua Puteri UNNO Sabah bertindak untuk menentukan hala tuju dan pendirian masing-masing.

“Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan membuat keputusan selepas selesai mengadakan perbincangan bersama Bahagian dan juga ahli Puteri UMNO serta mendapat maklum balas daripada mereka.

“Namun, apa juga pendirian Ketua Puteri Bahagian, Jawatan Kuasa Puteri Bahagian dan ahli, saya hormati dan diucapkan selamat maju jaya,” katanya.

Tengah hari tadi, Hajiji Noor mengumumkan lima Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain 21 Ketua Bahagian dan semua Ketua Wanita serta Puteri UMNO Sabah keluar parti berkuat kuasa hari ini. – Berita Harian

137