Anthony Pemangku Presiden SAFA


KOTA KINABALU: Datuk Peter Anthony sah diangkat sebagai peneraju Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) selepas majoriti daripada 26 ahli gabungan persatuan itu bersetuju beliau sebagai pemangku presiden. 

DATUK Peter Anthony (depan tengah) peneraju Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA). – Foto BERNAMA

Persetujuan itu dicapai pada kongres luar biasa SAFA yang dipengerusikan Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Rahman Zakaria di pejabat persatuan itu, di sini, hari ini. 

Pada sidang media khas oleh Peter selepas itu, beliau menyatakan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua ahli gabungan SAFA yang bersetuju dan menyokong beliau untuk menjadi pemangku presiden. 

“Kesepakatan ini juga membolehkan pasukan Sabah terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan, pada awalnya memang ada sedikit rintangan, namun, saya memuji kesemua ahli gabungan kerana sanggup mengetepikan perbezaan pendapat demi menyelamatkan bola sepak negeri ini. 

“Tujuan kongres luar biasa ini diadakan sebenarnya bukanlah untuk merombak keseluruhan pucuk pimpinan SAFA tetapi oleh kerana ada beberapa jawatan penting yang sudah ditinggalkan perlu diisi, maka ia perlu diadakan,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Peter turut mengumumkan Jelius Ating kekal sebagai ketua jurulatih Sang Badak bagi menghadapi saingan Liga Malaysia, musim depan. 

Selain itu, tiga jawatan penting SAFA yang turut diisi hari ini menyaksikan kesemuanya adalah bekas-bekas pemain negeri berkenaan iaitu Andrew Majanggim sebagai Setiausaha Agung, Yap Wai Loon sebagai Bendahari Agung serta Henry Soimpon selaku pengurus pasukan utama Sabah. 

“Kita juga sudah membuat keputusan untuk melanjutkan kontrak 16 pemain sebagai permulaan dengan selebihnya akan ditentukan oleh barisan pengurusan serta kejurulatihan kemudian. 

“Banyak yang kita perlu lakukan bagi memastikan kita terus beraksi dalam Liga Malaysia. Esok adalah tarikh akhir pendaftaran pertama pemain, banyak dokumen-dokumen yang perlu diselesaikan namun saya yakin kita akan mengatasinya,” katanya. 

Terdahulu, 16 pemain yang dilanjutkan kontrak ialah Rawilson Batuil; Randy Baruh Samson; Jenius Karib; Dendy Lowa; Mohd Azzizan Nordin; Maxsius Musa; Ummareng Bachok; Justin Samaan; Ricco Nigel Milus; Sabri Sahar; Mohd Azwan Fattah; Rahman Shah Marajeh; Mazlan Yahya; Rozaimie Rohim; Rendy Robson Rining dan Mohd Sakri Masri.  – Berita Harian

118