UMNO Sabah lumpuh


KOTA KINABALU: UMNO Sabah terima tamparan hebat apabila Pengerusinya, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Mereka termasuk sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Turut sama ialah empat ahli Parlimen iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), manakala dua lagi Senator ialah Datuk John Ambrose yang juga Ketua UMNO Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai UMNO Bahagian Pensiangan.

Secara keseluruhan, sembilan ADUN, empat Ahli Parlimen, dua Senator dan 21 Ketua Bahagian Umno Sabah bertindak meninggalkan parti itu.

Hajiji dipetik berkata, Ahli Parlimen Sipitang, Hafez Yamani Musa, yang belum mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, turut menyuarakan hasrat keluar UMNO untuk bersama kumpulan terbabit.

Majlis pengumuman keputusan itu turut menyaksikan kehadiran kebanyakan pemimpin kanan dan ahli Jawatankuasa UMNO Sabah, antaranya Ketua Penerangan UMNO negeri, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak kelihatan dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Hajiji berkata, keputusan meninggalkan UMNO itu dibuat secara sebulat suara.

“Malangnya, UMNO kini menjadi seperti masa dulu. Kepimpinan sedia ada tidak mempunyai hala tuju politik yang jelas.

“Kami tidak pasti ke mana hala tuju UMNO. Ada kenyataan bercanggah mengenai masa depannya, bergantung kepada siapa anda bercakap di pucuk pimpinan sedia ada,” katanya. – Berita Harian

125