Bekas ADUN Sekong umum keluar UMNO

SANDAKAN, 11 Dis – Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Sekong Datuk Samsudin Yahya hari ini mengumumkan keluar dari Parti UMNO.

Keputusan beliau itu turut disertai beberapa Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Batu Sapi iaitu Timbalan Ketua bahagian itu Zantapha Jainil Abidin, Naib Ketua Wanita Suhana Ag Tahir dan Ketua Puteri Hazulizah Md Dani.

Samsudin pada sidang media di sini berkata keputusan itu dibuat selepas mereka hilang kepercayaan kepada Ketua Bahagian UMNO Batu Sapi (Khairul Firdaus Akhbar Khan) kerana gagal memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat serta ahli parti.

Bagaimanapun, katanya mereka masih meletakkan kepercayaan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Hajiji Noor.

“Kami akan menyokong penuh apa juga langkah yang diambil Hajiji untuk membawa hala tuju wadah perjuangan kami seterusnya.

“Kami juga menzahirkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Samsudin yang menyertai UMNO sejak 27 tahun lepas, pernah menjadi ADUN Sekong serta Ketua Bahagian UMNO Batu Sapi selama 15 tahun selepas memenangi tiga pilihan raya sebelum gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lepas.

Kerusi DUN Sekong dimenangi calon Parti Warisan Sabah Arifin Asgali yang mendapat 6,470 undi, manakala Samsudin memperolehi 4,705 undi.?

Samsudin berkata perlunya ada satu parti yang boleh dijadikan sandaran membela kepentingan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah agar  selari dengan pucuk kepimpinan politik di peringkat nasional hari ini.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *