Saya akan isytihar harta – Shafie


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau akan mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna, bagaimanapun tidak menyatakan bila pengisytiharan itu dilakukan, namun menjelaskan beliau akan melakukannya jika itu yang dikehendaki.

“Saya sudah membuat pengisytiharan kepada SPRM (ketika ditahan untuk siasatan SPRM tahun lalu) tetapi jika mereka masih mahu saya untuk membuat pengisytiharan, saya akan lakukan. InsyaAllah..tiada apa yang perlu saya sembunyikan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Pegawai Daerah Sabah, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan mengenai 13 Ahli Parlimen yang belum mengisytiharkan aset kepada SPRM, termasuk dirinya.

Sementara itu, mengenai persidangan berkenaan, Mohd Shafie mengingatkan Pegawai Daerah di Sabah supaya kerap turun padang berjumpa rakyat dan bukannya hanya duduk di pejabat.

“Pegawai Daerah perlu mendengar dan memahami keluhan rakyat kerana mereka adalah pelaksana dasar.

“Kita juga perlu ada perancangan daerah yang teratur, contohnya kawasan untuk kediaman tidak seharusnya bercampur dengan kawasan untuk industri.

“Saya lihat di Sarawak lebih teratur, di sana ada kawasan untuk perumahan, tempat untuk kilang dan sebagainya. Pegawai Daerah kita perlu melihat perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata Malaysia perlu terus mengukuhkan kerjasama dengan Indonesia dan Filipina berkaitan aspek keselamatan.

Katanya, Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada pertahanan seperti kawalan pemantauan dan operasi di kawasan sendiri.

“Kita perlu bekerjasama dengan Indonesia dan Filipina, perlu ada operasi bersama di antara ketiga-tiga negara,” katanya. – Berita Harian

96