‘Dah pecah masuk, tertidur pula…’

Pencuri yang terlena akhirnya ditangkap selepas memasuki sebuah bangunan di Prenburgh. Foto Agensi

Moscow: Seorang pencuri melakukan kesilapan bodoh apabila terlena kepenatan di sebuah bangunan yang dipecah masuknya di Orenburgh, Russia sebelum ditahan pihak berkuasa.

Kejadian berlaku pada 20 November lalu apabila lelaki berusia 36 tahun itu memecah masuk sebuah bangunan pejabat di Sharlykskoye Road menerusi tingkap kecil di tingkat tiga.

Dia menggunakan pelbagai peralatan lengkap seperti pemutar skru, pemotong kabel, tukul, alat mencabut paku serta kunci untuk masuk ke pejabat itu bagi mencuri barangan berharga.

Walaupun berjaya menemui wang tunai sebanyak AS$2,100 (RM8,780) dia tidak terus melarikan diri sebaliknya ingin berehat lalu tertidur di sebuah kerusi sebelum polis menemui serta menahannya beberapa jam kemudian.

Menurut agensi berita Russia, RIA, kehadiran penceroboh terbabit disedari seorang pengawal keselamatan yang melihat kamera pengawasan di bangunan itu.

Namun, dia tidak terus bersemuka dengan pencuri itu sebaliknya segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut. -Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *