Jemaah menteri setuju adakan perbincangan khas bincang status kampung di dalam hutan simpan – Ewon

PAGALUNGAN – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) Datuk Ewon Benedict berkata, Kabinet Negeri, Rabu lalu bersetuju supaya satu mesyuarat khas diadakan membincangkan isu mengenai masa depan kampung-kampung yang terletak dalam kawasan hutan simpan.

Katanya, perbincangan itu bertujuan mencari jalan mewartakan kampung-kampung berkenaan dan memberi pemilikan tanah secara kekal kepada komuniti di situ sesuai dengan hala tuju kerajaan negeri pada hari ini.

“Pewartaan ini amat penting supaya kesemua keperluan (penduduk) yang berkaitan seperti akses jalan raya mendapat pembelaan (dari segi) pembangunan,” katanya kepada Bernama di sini semasa lawatan kerja dua hari bagi menyelami  kehidupan rakyat di kawasan perbatasan Sabah (Malaysia) dan Kalimantan (Indonesia) secara lebih dekat.

Ewon berkata hak pembangunan rakyat yang tinggal berabad lamanya di kawasan hutan simpan itu tidak boleh dinafikan sama sekali dan semua pihak harus berusaha mencari jalan membantu kumpulan itu agar mereka tidak terpinggir dari arus pembangunan.

“Inilah hasrat saya. Saya  ingin melihat rakyat yang tinggal di Pagalungan dan di perbatasan menikmati pembangunan … sebab itu saya berada di sini untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ewon berkata cadangan pembinaan tiga jeti iaitu masing-masing di Kampung Salong, Pagalungan dan Pensiangan yang pernah dicadangkan sebelum ini akan diteruskan untuk memberi keselesaan kepada penduduk dan peniaga yang menggunakan sungai sebagai laluan perdagangan.

Menurutnya, rekod menunjukkan cadangan pembinaan jeti itu telah wujud sekian lama namun pihak tertentu yang dipertanggungjawabkan menyediakan reka bentuk jeti tersebut belum mengemukakannya kepada kerajaan.

“Jeti ini satu keperluan mendesak bagi komuniti di sini (Pagalungan), Pensiangan dan juga komuniti suku kaum Murut yang berada di Kalimantan untuk berurus niaga menggunakan sungai sebagai laluan perdagangan,” katanya.

Ewon berkata  beliau akan memastikan sekurang-kurangnya satu daripada tiga jeti yang dicadangkan pembinaannya itu dapat dilaksanakan tahun hadapan.

– BERNAMA