Majoriti ketua cabang PKR Sabah mahu pengerusi negeri baharu

KETUA Cabang Tawau, Datuk Kong Hong Ming

KOTA KINABALU: Majoriti ketua cabang PKR Sabah membuat resolusi untuk menamakan Ketua Cabang Tawau, Datuk Kong Hong Ming sebagai Pengerusi PKR negeri baharu, menggantikan Datuk Christina Liew.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat yang juga Ketua Cabang Kudat Rahimah Majid, ketika dihubungi NSTP mendakwa, ramai ahli dan pemimpin PKR di Sabah tidak mahu Liew dilantik semula sebagai pengerusi negeri.

“Kita tidak mahu beliau (Liew) dilantik semula (sebagai pengerusi PKR Sabah).

“Sebabkan itu, kali ini majoriti ketua cabang membuat resolusi bagi memilih pengerusi PKR Sabah yang baharu, walaupun Liew ada menawarkan diri untuk dilantik semula,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, beberapa portal mendedahkan PKR Sabah dijangka merombak pucuk pimpinan parti termasuk menggantikan Liew sebagai pengerusi PKR negeri apabila 15 daripada 26 ketua cabang mengadakan pertemuan minggu lalu.

Mengulas lanjut perkara itu, Rahimah berkata, memang ada mesyuarat tetapi ia bukan hanya untuk membincangkan isu pimpinan negeri, malah kepentingan awam dan cara efektif bagi setiap cabang untuk menunaikan tanggungjawab mereka di kawasan masing-masing

“Tidak benar ada usaha untuk menyingkirkan beliau (Liew) kerana dia pun bukan Pengerusi Sabah lagi sekarang sebab belum dilantik,” katanya.

Beliau juga tidak menafikan Hong Ming antara calon yang menerima sokongan untuk menggantikan Liew.

Difahamkan, seramai 15 daripada 26 ketua cabang di Sabah dan Labuan menghadiri pertemuan itu.

Turut difahamkan, kedudukan pengerusi PKR negeri dibuat berdasarkan pelantikan oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengambil kira pandangan semua 26 ketua cabang serta autonomi untuk Sabah dan Sarawak, seperti termaktub dalam perlembagaan parti dan Deklarasi Kuching 2012 dan 2014. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *