Siat kulit mayat

 Tatu yang memenuhi badan Chris akan diawet dan dipamerkan di rumahnya. – Agensi

Toronto: Seorang wanita akan menyiat kulit mayat suaminya untuk memenuhi hasrat terakhir lelaki itu supaya tatu pada badannya diawet dan dipamerkan sebagai perhiasan di rumahnya.

Cheryl Wenzel berkata, mendiang suaminya Chris, 41, yang juga pelukis tatu membuat permintaan itu sebaik mengetahui hayatnya sudah tidak lama.

Tujuannya adalah supaya anak cucunya dapat terus melihat karya seni berkenaan selepas kematiannya.

Cheryl memberitahu The Globe and Mail: “Memang saya agak terkejut dengan permintaannya itu, tetapi saya anggapnya begitu unik. Tak kira apapun caranya, saya akan pastikan permintaan terakhirnya itu dilaksanakan.

“Kita lazim menggantung gambar pada dinding. Jadi apa salahnya tatu? Ia amalan ribuan tahun dan ini cara untuk memeliharanya.”

CTV Saskatoon melaporkan, Chris menghidap kolitis ulseratif, iaitu penyakit yang mengakibatkan degupan jantung laju atau tidak teratur. Dia meninggal dunia ketika tidur pada Oktober lalu selepas mengadu sakit dada.

Cheryl berjaya menemui satu keluarga di Amerika Syarikat yang menjalankan perniagaan mengawet dan memelihara tatu daripada mayat.

Pemilik Save My Ink Forever, Kyle Sherwood berkata: “Tatu ‘menceritakan’ personaliti seseorang. Untuk seseorang mencacah lukisan pada badannya bererti seni itu akan dilihat sepanjang hayatnya. Jadi sudah pasti ia membawa maksud penting untuknya.

“Jika karya oleh Picasso, contohnya, sudah pasti pemiliknya tidak akan membakar atau menanamnya. Begitulah juga tatu.”

Susulan itu, Sherwood dan kakitangannya akan menghabiskan tiga bulan untuk proses rumit yang turut memerlukan pembedahan bagi mengawet tatu Chris.

Sherwood berkata, projek itu pemeliharaan tatu terbesar pernah dilakukan di Amerika Utara.

Chris memilik studio Electric Underground Tattoo dengan tatu pertamanya dilakukan ketika berusia tujuh tahun pada kulit ibu saudaranya.

Dia dilaporkan amat dihormati di Saskatoon kerana hasil kerjanya.

Sementara itu, Cheryl, yang juga pernah dicacah oleh Chris berkata, dia akan membuat perkara sama apabila mati, dengan mengawet tatunya untuk dipamerkan di sebelah tatu suaminya. – Agensi

Chris bersama isternya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *