Alijus Letak Jawatan Presiden SAFA

ALIJUS Sipil buat keputusan mengejut apabila meletak jawatan sebagai Presiden SAFA.

KOTA KINABALU: Selepas kira-kira tiga bulan menerajui Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Alijus Sipil membuat keputusan mengejut apabila meletak jawatan sebagai presiden persatuan itu.

Alijus ketika dihubungi, di sini, hari ini mengesahkan perkara itu dengan alasan mahu menumpukan lebih perhatian kepada tugasnya sebagai Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Difahamkan, beliau yang pernah memegang jawatan Setiausaha Agung SAFA dan Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menghantar surat peletakan jawatannya itu pada awal minggu ini.

Alijus sebelum ini dipilih sebagai presiden selepas menewaskan pencabarnya, Datuk Yusoff Kasim pada pemilihan SAFA yang berlangsung pada 25 Ogos lalu.

Pada pemilihan itu, Alijus meraih 39 undi manakala Yusoff hanya mendapat 13 undi.

Keputusan Alijus itu menambahkan lagi masalah dalaman persatuan berkenaan selepas sebelum ini turut mengalami masalah kewangan yang kritikal.

Sumber SAFA yang enggan didedahkan namanya berkata, persatuan itu akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan peletakan jawatan Alijus itu.

“Keadaan SAFA kini kritikal, kerajaan negeri perlu membantu, jika tidak, penyertaan skuad Sabah dalam Liga Malaysia musim depan juga akan terjejas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden SAFA, Joehari Ayub juga dijangka melepaskan jawatannya.

Bagaimanapun, Joehari yang juga Naib Presiden FAM, dikatakan belum menghantar surat peletakan jawatannya kepada pihak SAFA.

Sebelum ini, Hamid Apdal yang juga adik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden SAFA namun ditolak ahli majlis tertinggi persatuan itu. – Berita Harian

219