Abang tertembak ibu, adik dicekup pecah pejabat

SEKADAR GAMBAR HIASAN

KINABATANGAN: Selepas abang dicekup polis kerana tertembak ibu di Telupid Selasa lalu, adik tirinya pula diberkas polis kelmarin dipercayai terbabit kes pecah masuk pejabat timbangan kelapa sawit, dekat Tongod, di sini.

Suspek berusia 25 tahun itu diberkas berdekatan pusat timbangan berkenaan kira-kira jam 5.30 petang.

Menurut sumber, sebelum suspek ditahan, pihak pengurusan timbangan dimaklumkan mengenai kejadian pecah masuk pejabatnya pada Rabu lalu.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh suspek yang juga pekerja di pusat timbangan berkenaan dan tinggal bersebelahan pejabat pusat terbabit.

“Selepas menjalankan pemeriksaan, pihak pengurusan timbangan mendapati ada kesan umpil di pintu utama pejabat itu.

“Wang tunai sebanyak RM2,315.50 yang diletakkan dalam laci pejabat turut hilang disyaki dicuri,” katanya.

Katanya, pihak pengurusan kemudian membuat laporan polis sebelum suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan bagi membantu siasatan kerana disyaki dalang dalam kes berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Pada Selasa lalu, NSTP melaporkan abang tiri suspek ditahan selepas tertembak ibu mereka yang berumur 60 tahun menggunakan senapang patah buatan sendiri atau bakakuk ketika dua beradik itu bergaduh dalam kejadian di Kampung Berayong, Telupid, dekat sini.

Sebelum kejadian itu, dua beradik tiri berkenaan bersama bapa saudara dan seorang rakan mereka meraikan hari jadi suspek sambil meminum arak buatan sendiri.

Disebabkan mabuk, dua beradik itu bergaduh hingga abang tiri suspek bertindak mengambil senapang patah buatan sendiri di rumah mereka untuk menembak suspek namun dihalang ibu mereka.

Akibatnya, abang suspek tertekan picu menyebabkan peluru terkena tangan dan bahagian dada ibu mereka namun dilaporkan selamat sebelum abang suspek diberkas polis. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *