Dua tahun sembunyikan anak dalam but kereta

ROSA TF1

Paris: Seorang wanita didakwa di mahkamah selepas menyembunyikan anaknya di dalam but kereta selama dua tahun kerana tidak mahu keluarganya tahu dia hamil dan melahirkan kanak-kanak perempuan berkenaan.

Kanak-kanak itu yang berusia dua tahun diselamatkan oleh seorang mekanik di Terrasson-Lavilledieu, barat daya, Perancis selepas wanita berkenaan menghantar keretanya untuk dibaiki.

Ketika diselamatkan, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan bogel dan kekurangan zat makanan.

Daily Mirror melaporkan, Rosa Maria Da Cruz, 50, didakwa menyembunyikan kanak-kanak itu dalam but kereta sementara dia menjaga tiga lagi anaknya yang lain.

Mahkamah diberitahu, Rosa menyembunyikan kanak-kanak itu kerana tidak mahu keluarganya tahu dia hamil secara tidak sengaja dengan lelaki lain.

Rosa menghantar keretanya untuk dibaiki di sebuah bengkel dan memberitahu mekanik untuk tidak membuka but kerana ia penuh.

Bagaimanapun, mekanik di bengkel itu pelik apabila mendengar bunyi sesuatu bergerak di dalam but dan membukanya untuk menyiasat.

Mekanik berkenaan, Denis Latour memberitahu France TV, apabila membuka but itu dia terkejut melihat kanak-kanak itu dalam keadaan bogel dan berlumuran najis.

“Saya melompat ke belakang kerana baunya terlalu busuk,” katanya.

Serena kini menerima rawatan pakar di rumah jagaan kanak-kanak manakala ibunya masih dibicarakan.

Rosa turut didakwa melakukan keganasan secara berulang kepada kanak-kanak yang menyebabkan kecacatan kekal. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *