3 saluran pada pemilihan semula PKR Cabang Keningau

ANTARA anggota RELA ditugaskan memantau proses pengundian semula PKR di cabang Keningau. – NSTP/Olivia Miwil

KENINGAU: Sebanyak tiga saluran mengundi dibuka di pusat pengundian bagi pemilihan semula PKR Cabang Keningau, di Dewan Badminton, Kompleks Sukan Keningau, di sini, hari ini.

Calon EXCO Wanita PKR, Sarimah Lisut, yang hadir bagi memberi sokongan kepada seorang calon ketua cabang, berkata setiap saluran dikhususkan untuk calon yang bertanding jawatan ketua cabang.

Pemilihan bagi jawatan ketua cabang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Johari Tahir, Datuk Dr Sangkar Rasam dan Haslina Abin Kassim.

“Pengundi akan berbaris mengikut calon mana yang mereka undi. Setiap saluran mempunyai 20 komputer tablet untuk ahli mengundi menggunakan sistem e-voting,” katanya.

Ketika mula dibuka pada kira-kira jam 9 pagi tadi, pengundi sudah ramai kelihatan di pusat pengundian bagi memilih calon pemimpin masing-masing.

Proses pemilihan semula itu yang dijadualkan sehingga jam 3 petang nanti dijalankan serentak dengan pemilihan peringkat Sarawak, hari ini.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) memutuskan untuk mengadakan pemilihan semula di cabang Keningau disebabkan kekecohan yang berlaku di cabang berkenaan ketika pengundian minggu lalu.

Insiden itu berlaku apabila beberapa ahli PKR dihalang memasuki pusat pengundian hingga memaksa calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli yang berada di lokasi campur tangan.

Situasi itu menyebabkan Rafizi dikasari sebelum beliau diiring keluar dan membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Difahamkan, ramai anggota polis dan kira-kira 50 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memantau keselamatan di pusat pengundian. – Berita Harian

181