Cubaan seludup 13,400 liter diesel gagal

ANGGOTA PPM menunjukkan bot yang cuba menyeludup keluar diesel yang ditahan di kawasan Pulau Sapi, Kota Kinabalu. – Ihsan PPM

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua bot bersama juragan dan 17 kru kerana cuba menyeludup keluar 13,400 liter diesel bernilai RM29,212 di kawasan Pulau Sapi, di sini, semalam.

Kedua-dua bot jenis kumpit itu ditahan anggota Unit Risik Marin (URM) PPM Kota Kinabalu ketika Operasi Inter Agensi, kira-kira jam 10.15 pagi.

Pemangku Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Superintendan Abd Nasir Othman, berkata berdasarkan maklumat risikan, anggota URM PPM Kota Kinabalu menahan dua bot kumpit kerana dikesan cuba menyeludup keluar diesel.

“Hasil pemeriksaan lanjut PPM, didapati kedua-dua bot membawa muatan sembilan tangki dan 22 tong berisi diesel dengan jumlah keseluruhan 13,400 liter.

“Kedua-dua juragan bot kumpit gagal mengemukakan lesen dan surat pelepasan atau kebenaran dari Jabatan Kastam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abd Nasir berkata, semua diesel dirampas dianggarkan bernilai RM29,212 itu dipercayai dari Labuan dan dibawa ke bandaraya ini sebelum cuba diseludup keluar.

“Semua barang rampasan dan kedua-dua juragan serta 17 kru bot berusia 38 hingga 53 tahun diiringi ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – Berita Harian

167