Penyokong WARISAN berkumpul depan mahkamah

Antara penyokong Parti Warisan yang berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu

 

KOTA KINABALU: Lebih 100 penyokong Parti Warisan Sabah (WARISAN) berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah di sini, sejak tengah hari tadi, di mana prosiding hujahan lisan saman Tan Sri Musa Aman terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berlangsung petang ini.

Mereka berkumpul di ruang disediakan untuk penyokong WARISAN. Turut disediakan ialah ruang untuk penyokong Musa, namun setakat jam 2 petang belum ada penyokongnya kelihatan hadir.

Turut kelihatan ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew dan Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony.

Kawasan sekitar mahkamah turut dikawal anggota polis.

Prosiding bermula jam 2.30 petang ini adalah untuk mendengar hujahan lisan peguam kedua-dua pihak.

Sebelum ini, timbul khabar angin bahawa mahkamah akan menyampaikan penghakiman hari ini mengenai siapa Ketua Menteri Sabah yang sah.

Bagaimanapun, peguam kedua-dua pihak menolak khabar angin itu dan menjelaskan prosiding hari ini adalah untuk hujahan lisan.

Jun lalu, Musa memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Tun Juhar dan Mohd Shafie berkaitan isu pelantikan Ketua Menteri.

Saman itu bagi mendapat pengisytiharan bahawa beliau kekal Ketua Menteri yang sah mengikut undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Sumber : Berita Harian

92