Polis tingkat keselamatan di Kompleks Mahkamah KK

Keadaan di luar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Polis meningkatkan aspek keselamatan di Kompleks Mahkamah di sini, menjelang prosiding kes saman Tan Sri Musa Aman terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pasukan keselamatan ditempatkan di mahkamah seawal jam 8.30 pagi dan melakukan sekatan jalan raya ke kompleks berkenaan bagi membuat pemeriksaan terhadap kenderaan serta individu.

Pada jam 11 pagi tadi, anggota polis yang bertugas melakukan rondaan di luar dan dalam kompleks mahkamah.

Turut kelihatan ialah Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Sementara itu, prosiding kes lain di mahkamah berjalan seperti biasa.

Kelmarin, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, mengingatkan penyokong kerajaan dan pembangkang tidak menimbulkan kekecohan sepanjang prosiding berhubung isu pelantikan Ketua Menteri Sabah itu.

Omar dilaporkan berkata, kawasan luar serta dalam Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu akan dikawal sepenuhnya oleh polis bagi mengelak sebarang gangguan.

Sebelum ini, timbul khabar angin bahawa mahkamah akan menyampaikan penghakiman hari ini mengenai siapa Ketua Menteri Sabah yang sah.

Bagaimanapun, peguam kedua-dua pihak menolak khabar angin itu dan menjelaskan prosiding hari ini adalah untuk hujahan lisan.

Jun lalu, Musa memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Tun Juhar dan Mohd Shafie berkaitan isu pelantikan Ketua Menteri.

Saman itu bagi mendapat pengisytiharan bahawa beliau kekal Ketua Menteri yang sah mengikut undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Sumber : Berita Harian

POLIS meningkatkan aspek keselamatan di Kompleks Mahkamah di Kota Kinabalu, menjelang prosiding kes saman Tan Sri Musa Aman terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Foto Avila Geraldine
475