20 cedera eskalator runtuh

eskalator yang runtuh di ROM. Foto/Agensi

ROME: Lebih 20 mangsa cedera, sebahagian besarnya peminat bola sepak Russia selepas eskalator di stesen metro di tengah bandar raya ini, runtuh, semalam.

Media tempatan Itali melaporkan, seorang mangsa mengalami cedera parah selepas kakinya tersepit di dalam tangga bergerak yang runtuh itu.

Video mengenai insiden berkenaan menunjukkan eskalator di stesen Repubblica itu tiba-tiba bergerak dengan laju ke bawah ketika puluhan penumpang berada di atasnya.

Kejadian berkenaan menyebabkan orang ramai yang berada di tangga bergerak itu jatuh bertimpa di atas satu sama lain, sambil kedengaran bunyi jeritan setibanya mereka di bahagian bawah eskalator terbabit.

Laporan media tempatan yang memetik saksi kejadian berkata, kebanyakan peminat bola sepak dipercayai mabuk, selain melompat dan menari di eskalator berkenaan, sebelum ia runtuh, namun penyokong terbabit menafikan dakwaan itu.

“Kami akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian, dan pada masa sama, kami sedia memberikan bantuan kepada semua mangsa yang cedera serta keluarga mereka,” kata Datuk Bandar Rom, Virginia Raggi ketika ditemui wartawa di lokasi kejadian.

Sementara itu, siasatan punca kejadian itu sudah dimulakan, manakala stesen metro berhampiran stesen kereta api Termini di Rom, juga sudah ditutup.

Insiden itu berlaku satu jam sebelum sepak mula Liga Juara-Juara membabitkan pasukan Roma, Itali dan kelab Russia, CSKA Moscow.

Peminat bola sepak Russia dilaporkan menuju ke stesen metro itu yang menghubungkan mereka dengan stesen kereta api untuk ke stadium terbabit.

Sumber : AFP

eskalator yang runtuh di ROM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *