Joseph Pairin Kitingan presiden parti baharu di Sabah

KOTA KINABALU – Empat parti politik di Sabah iaitu PBS, Star, PBRS dan Umno hari ini secara rasminya mengumumkan pakatan politik menerusi penubuhan Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan diumumkan sebagai pengerusi interim GBS manakala timbalan pengerusinya terdiri daripada Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Presiden Star Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup dan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman yang kini Ahli Parlimen Bebas.

Sementara bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Datuk Johniston Bangkuai pula masing-masing dilantik sebagai setiausaha agung, bendahari dan ketua penerangan manakala kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun dan Ahli Parlimen PBS, Umno, Star dan PBRS secara automatik menjadi Anggota Jawatankuasa GBS.

Pairin ketika mengumumkan penubuhan GBS dalam sidang media di sini, berkata  GBS  ditubuhkan atas kesedaran tentang denyut nadi rakyat yang dahagakan perpaduan di samping kekuatan parti politik berkenaan di Sabah serta bagi mewujudkan budaya politik baharu selepas era rejim pakatan terdahulu berakhir di Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

“GBS sedia mengambil alih dari tampuk kerajaan sedia ada yang sehingga ke hari ini belum disahkan statusnya, dan GBS akan memastikan Malaysia dan Sabah kekal harmoni dan bersatu, di samping meningkatkan pembangunan sodio-ekonomi negeri dan mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan saksama.

“Selepas lima bulan ‘berkuasa’, kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah bukan sahaja gagal menjalankan kerja seperti yang diamanatkan oleh rakyat, tetapi juga memperlihatkan kelemahan mereka.

“Antaranya (kelemahan) ialah memperjuangkan hak-hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963, membantu pemohon yang tidak layak mendapatkan dokumen pengenalan diri, empangan Kaiduan, Projek Tanjung Aru Eco-Development (TAED)…” katanya.

Pairin berkata GBS akan memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan demi kesejahteraan Malaysia Baharu dan Sabah.

“Kami menjemput dan merayu semua rakyat tulen negara Malaysia di negeri Sabah untuk mendukung dan menyertai perjuangan murni ini demi menyelamatkan Sabah dan memperjuangkan kemajuan, keselamatan, integriti wilayah serta kemakmuran negeri Sabah yang tercinta,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya berhubung pendaftaran GBS, Masidi berkata lambat laun GBS akan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan namun tidak menetapkan tempoh masa bila gabungan itu akan didaftarkan.

“GBS ingin mewujudkan budaya politik baharu di Sabah di mana tidak ada parti dalam GBS menganggap parti mereka lebih dominan atau lebih berkuasa berbanding parti-parti lain dalam gabungan itu seperti yang pernah berlaku sebelum ini, katanya.

Masidi juga berkata kepimpinan GBS sepakat bahawa fasa seterusnya selepas pengumuman rasmi GBS ialah menjadikan semua ketua dan presiden parti komponen dalam GBS sebagai pengerusi bersama gabungan itu manakala Pairin dan Adun Sungai Sibuga yang juga bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman sebagai penasihat GBS.

Pada masa ini parti gabungan GBS menguasai 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan 10 kerusi Parlimen.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *