Yamani Hafez belum maklum tarikh angkat sumpah

Yamani Hafez Musa

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff mengesahkan Yamani Hafez Musa masih belum memaklumkan kepada beliau tarikh untuk hadir mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Sipitan yang sah.

Ketika menjawab soalan wartawan NSTP menerusi WhatsApp hari ini adakah beliau sudah menerima surat atau makluman rasmi daripada Yamani Hafez mengenai alasannya belum mengangkat sumpah, Mohamad Ariff menjawab ringkas ‘belum’.

Bagaimanapun, Mohamad Ariff menyatakan anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman itu mempunyai tempoh selama enam bulan bermula 16 Julai lalu, iaitu hari pertama Dewan Rakyat memulakan mesyuaratnya.

“Berdasarkan Perkara 59 Perlembagaan, Ahli Parlimen yang gagal mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan mulai daripada tarikh Dewan Rakyat mula bersidang berkemungkinan akan hilang kelayakan,” katanya.

Pada tarikh itu, seramai 220 daripada 222 Ahli Parlimen mengangkat sumpah jawatan mereka di Dewan Rakyat pada hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14.

Dua Ahli Parlimen yang tidak hadir adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yamani Hafez.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pagoh pada 14 Ogos lalu.

Muhyiddin tidak menyertai Ahli Parlimen lain yang mengangkat sumpah pada 16 Julai lalu berikutan bercuti sakit selama sebulan.

Bermakna, Yamani Hafez, 39, yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Sabah mempunyai tempoh sehingga Januari depan untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Beliau sebelum ini dikatakan ‘menghilangkan diri’ kerana menemani bapanya ke London yang mendakwa mendapatkan rawatan di sana.

Susulan itu, muncul gesaan yang meminta beliau mengosongkan kerusi Parlimen itu jika tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 akan bermula Isnin ini sehingga 11 Disember.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *