Sewa anak kepada pencuri

SEORANG lelaki boleh dianggap sebagai bapa paling teruk di dunia apabila sanggup menyewakan enam anaknya kepada kumpulan pencuri dan sering memukul serta mengikat kanak-kanak berkenaan.

Liu Mingju yang bekerja sebagai buruh di daerah Shangcheng di wilayah Hunan, China menjaga kanak-kanak berkenaan yang berusia antara satu hingga 15 tahun seorang diri selepas isterinya mengalami masalah mental.

Bagaimanapun, lelaki itu dilaporkan melayan anaknya yang terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan dengan teruk termasuk mengikat mereka di katil ketika dia pergi bekerja.

Mingju dalam satu wawancara dengan pearvideo.com berkata, dia mengikat anaknya yang masih kecil di katil adalah untuk keselamatan mereka ketika dia pergi bekerja.

“Saya bekerja di tapak pembinaan, menggali perigi dan parit. Saya mempunyai banyak peralatan besi seperti penyodok yang bersepah-sepah di rumah,” katanya.

Lebih mengejutkan lagi, Mingju turut mengaku dia pernah menyewa anaknya kepada kumpulan pencuri dengan harga 5,000 yuan (RM3,000) setahun.

“Kumpulan ini memilih untuk menyewa kanak-kanak kerana mereka kurang mendapat perhatian pengawal keselamatan ketika mencuri di kedai atau pasar raya,” jelasnya.

Seorang anak Mingju memberitahu, bapanya sering mengikat dan memukul dia serta adik beradiknya yang lain.

Mereka juga sering merempat dengan tidur di tepi jalan raya serta hanya diberi makan mi segera oleh bapa.

Namun, kesengsaraan enam beradik itu berakhir selepas jiran melaporkan tindakan Mingju kepada pihak berkuasa.

Mahkamah di Shangcheng baru-baru ini memutuskan Mingju tidak layak untuk menjaga anaknya dan semua kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah jagaan rumah anak yatim.

Sumber : Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *