Pengantin mati kena tembak gara-gara muzik kuat

SEKADAR GAMBAR HIASAN

PESHAWAR: Seperti kata pepatah, malang tidak berbau, seorang lelaki dan wanita yang baru berkahwin terbunuh dek pergaduhan keluarga berpunca daripada muzik kuat.

Pengantin baru itu terkena tembakan apabila anggota kedua-dua belah keluarga saling melepaskan tembakan selepas bergaduh mengenai perkara itu ketika majlis perkahwinan berlangsung di luar Peshawar, semalam.

Dua mangsa berasal dari kampung yang sama iaitu Hazar Khwani, lapor portal berita Pakistan.

Ketika ditemui media, seorang pegawai polis berkata, pergaduhan dimulakan oleh saudara kepada keluarga sebelah pengantin lelaki.

Mereka menyuarakan kemarahan dan meminta bunyi muzik yang diperdengarkan kepada tetamu dikurangkan di majlis itu, katanya lagi.

Oleh kerana tidak dapat menahan marah, seorang daripada mereka melepaskan tembakan yang dibalas anggota keluarga pengantin perempuan.

Pihak berkuasa berkata, bapa pengantin lelaki dan seorang saudaranya turut cedera parah.

Mereka dibawa ke hospital dan keadaan mereka dilaporkan tenat, menurut laporan.

Polis berkata, saudara kepada pengantin lelaki itu dipercayai pihak pertama melepaskan tembakan, mengikut hasil siasatan awal.

Pihak berkuasa dikatakan masih menunggu untuk mendaftarkan kes sebelum mengambil tindakan lanjut.

Mayat pengantin baru itu telah dibawa ke lokasi ditetapkan bagi menyelesaikan semua dokumen perubatan termasuk pengesahan kematian.

Sumber – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *