Bayi pokok pisang

Penduduk memanjat pagar untuk menyelamatkan bayi itu. – Foto Daily Mail

BANGKOK: Seorang bayi baru lahir yang dipercayai dicampak dari balkoni tingkat lima sebuah apartmen terselamat apabila terjatuh atas pokok pisang di Samut Prakan, tengah Thailand, pagi Isnin lalu.

Daily Mail melaporkan, bayi yang masih bertali pusat dan mempunyai uri itu ditemui penduduk apartmen terbabit selepas terdengar tangisannya.

Penduduk kemudiannya memanjat pagar setinggi dua meter untuk menyelamatkan bayi yang jatuh di atas pokok pisang terbabit.

Ajaibnya, bayi terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya terdapat sedikit calar dan kesan gigitan nyamuk pada badannya.

Jiran, Hang Konhaan, 55, berkata: “Pada mulanya saya terdengar bunyi tangisan pada jam 10.30 pagi tetapi tidak mengendahkannya.

“Kemudian saya memberitahu jiran lain dan kami cuba memeriksa keadaan. Kami terkejut melihat bayi terbabit di bawah dan menangis dengan daun koyak berhampiran yang menyelamatkannya,” katanya.

Menurutnya, dia pernah melihat seorang remaja hamil di kawasan itu tetapi tidak mengenalinya.

Remaja terbabit berdepan dakwaan cubaan membunuh dan kini diburu pihak berkuasa. Polis turut mengambil keterangan pemilik unit apartmen terbabit.

Jurucakap balai polis daerah Samrong Nua, Leftenan Kolonel Amnat Charoen berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 11 pagi.

“Bayi masih mempunyai uri itu ditemui di bawah pokok pisang. Terdapat banyak kesan gigitan nyamuk dan semut pada badannya, selain ruam.

“Terdapat tanda dia terjatuh dari tempat tinggi. Polis menyiasat kes ini dan kami percaya bayi itu dilahirkan oleh ibu remaja di unit apartmen tingkat lima.

“Bayi itu kini di bawah jagaan pihak hospital dan keadaannya sihat,” katanya.

Sumber : Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *