Ibu, Mazlan jalan dulu ya…

ASMAH melihat potret anaknya, Allahyarham Mazlan, ketika ditemui wartawan di Tawau, hari ini.

 

TAWAU: “Ibu, Mazlan jalan dulu ya,” kata Allahyarham Mazlan Omarbaki, 25, ketika menghubungi ibunya pada malam Isnin lalu, sebelum keluar menjalankan operasi menyelamatkan orang cuba bunuh diri di Klang, Selangor.

Kata-kata itu masih segar dalam ingatan ibunya, Asmah Abdalis, 54, yang masih terkejut serta tidak menyangka anaknya ditemui lemas bersama lima rakan setugasnya ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja hilang di lombong di Puchong, Selangor, malam tadi.

Asmah berkata, kali terakhir Mazlan menghubunginya pada Selasa lalu dan beliau sempat berpesan kepada anak keempat daripada enam beradik itu supaya berhati-hati ketika bertugas, selain tidak bimbang mengenai keadaan ibu serta adik-beradik lain di Sabah.

“Itu kali terakhir saya bercakap dengan Mazlan… sehari sebelum itu dia ada hubungi saya sebelum keluar operasi menyelamatkan orang cuba bunuh diri, sebelum letak telefon dia kata ‘Ibu, Mazlan jalan dulu’,” katanya ketika ditemui di rumah bapa saudara Mazlan di Kampung Batu Payung, di sini, sebentar tadi.

Mazlan bertugas sebagai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berpangkalan di Klang.

Asmah yang juga ibu tunggal berkata, Mazlan yang masih bujang mula berkhidmat dalam pasukan bomba sejak enam tahun lalu dan terus dihantar bertugas di Semenanjung sebaik tamat latihan.

Katanya, anaknya itu sering menyatakan harapan untuk berkhidmat di Sabah kerana ingin dekat dengan ibu, apa lagi dia menjadi harapan keluarga selepas kematian bapanya pada tahun 2012.

“Selepas bapanya meninggal dunia, dialah tulang belakang dan pengganti bapa sehinggalah masuk latihan bomba dan dihantar ke Semenanjung selama enam tahun… dia usaha minta bertugas di Sabah untuk jaga saya,” katanya.

Asmah berkata, kali terakhir Mazlan pulang ialah pada Ogos lalu dan ketika itu dia menyediakan pelbagai masakan kegemaran mangsa termasuk nasi kuning dan asam pedas.

Sementara itu, adik Mazlan, Azrul, 16, berkata walaupun berjauhan, abangnya sering menghubungi keluarga dan menasihatkan adik-adiknya supaya belajar dengan rajin.

“Abang larang kami jadi anggota bomba kerana perlu berjauhan dari ibu,” katanya.

Jenazah Allahyarham dijadual diterbangkan dari Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang ke Lapangan Terbang Tawau, sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Payung Pinagat, di sini.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *