Rosmah ditahan SPRM

ROSMAH ditahan pada jam 3.20 petang ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM. – AFP

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ditahan jam 3.20 petang ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini.

Rosmah Mansor tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 10.42 pagi tadi untuk memberi keterangan kali ketiga.

Difahamkan, Rosmah disoal siasat berhubung syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan pengubahan wang haram.

SPRM, dalam satu kenyataan sebentar tadi, mengesahkan penahanan Rosmah berhubung siasatan pengubahan wang haram selepas SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Susulan itu, Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Rosmah akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok pada jam 8 pagi untuk menghadapi pertuduhan terbabit.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *