Guna kayu ‘tutup’ mangsa

Mangsa yang terselamat dalam kejadian gempa di Palu, Sulawesi Jumaat lalu menyelongkar dan mencari barangan yang boleh digunakan daripada timbunan runtuhan rumah penduduk.

 

KETIKA bantuan barangan asas seperti makanan dan pakaian dijangka tiba dalam masa terdekat, penduduk di Palu dan Donggala, Sulawesi merayu badan kemanusiaan menyumbangkan plastik untuk membungkus mayat.

Seorang penduduk, Iswan Kurnia Hassan dari Palu, berkata, rata-rata mereka yang terselamat terpaksa menggunakan kain sarung sama ada yang masih elok ataupun ditemui di dalam timbunan runtuhan.

Katanya, pada awalnya, mereka hanya memikirkan soal makanan dan air bersih, tetapi selepas empat hari, pasukan penyelamat dan sukarelawan terdiri daripada penduduk setempat berdepan kekurangan plastik untuk membungkus ratusan mayat mangsa.

“Ketika ini, memang kami memerlukan barangan asas, tetapi kami juga perlukan plastik untuk membungkus mayat yang banyak.

“Selepas ini dijangka ramai lagi ditemui kerana petugas mula sampai dari beberapa negara. Ada mayat yang terpaksa diletakkan di kawasan lapang dan ditutup dengan kayu sementara menunggu untuk dibungkus,” katanya yang menghubungi Pengarah I-Reach Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Johan Ariff Ismail.

Sementara itu, Johan berkata, pasukan pertama MAPIM sudah berada di Makasar sejak dua hari lalu dan mengadakan perbincangan bersama rakan gabungan di Palu untuk menyelaras tugasan sukarelawan di kawasan bencana.

Katanya, kos beg jenazah yang paling murah boleh didapati ialah pada harga RM60 setiap satu dan ia sangat agak terhad di sekitar Palu ketika ini.

“Berdasarkan perbincangan, kami akan pecahkan tugas kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan runtuhan manakala satu lagi pasukan akan menguruskan bantuan kepada penduduk yang selamat.

“Bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal, kami kita juga akan menyediakan khemah yang bersesuaian kerana pada waktu ini mereka masih lagi trauma dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, dia merayu orang ramai menghulurkan sumbangan dan untuk maklumat lanjut boleh layari Facebook MAPIM.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *