Penyelamat berjaya keluarkan wanita daripada runtuhan

ANGGOTA penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa runtuhan bangunan susulan tsunami yang melanda di Palu. – Foto EPA

PALU: Pasukan penyelamat di Indonesia berjaya menarik keluar seorang wanita hidup-hidup daripada runtuhan Hotel Roa Roa, lapor laman web berita Detik.com hari ini.

Pemilik hotel itu, Ko Jefry, memberitahu Metro TV semalam bahawa 60 orang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan susulan tsunami setinggi enam meter yang dicetuskan gempa bumi berukuran 7.5 yang melanda Sulawesi pagi kelmarin.

Beratus-ratus lagi berkumpul di pusat beli belah untuk mencari orang tersayang.

“Kami mendapat maklumat daripada orang ramai bahawa anggota keluarga mereka masih terperangkap.

“Kami memberi tumpuan kepada usaha itu, terutama mencari mangsa terselamat,” kata seorang penyelamat, Yusuf, yang berada di lokasi pusat beli belah berkenaan.

Dengan 420 kematian sudah disahkan di Palu, pihak berkuasa berhadapan keadaan lebih buruk ketika laporan diterima dari kawasan rendah, terutamanya Donggala, yang diduduki 300,000 orang di utara Palu dan lebih dekat dengan pusat gegaran.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, berkata angka kematian mungkin mencecah ribuan.

Sumber – Reuters

168