Festival Sayangi Lahad Datu mampu dimasukkan dalam kalendar pelancongan

LAHAD DATU, 30 Sept – Penganjuran Festival Sayangi Lahad Datu @Silam mampu dijadikan acara tahunan untuk dimasukkan dalam kalendar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menteri di kementerian itu Mohamaddin Ketapi berkata ia sejajar dengan usaha untuk pembangunan pelancongan, kebudayaan, kesenian dan warisan di daerah ini.

Pada masa sama, katanya, penganjuran festival ini dapat merancakkan agenda penjanaan ekonomi negeri ini khususnya daerah Lahad Datu.

“Festival ini dapat menarik kehadiran pelancong dan membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni budaya dan pelancongan mengenegahkan produk seni budaya.

“Ia juga dapat menambah pendapatan penggiat seni dan juga komuniti setempat. Ini secara langsung menyumbang kepada inisiatif pengkomersialan budaya serta sumbangan ekonomi kepada industri kreatif negara,” katanya pada majlis perasmian festival itu di Kompleks Sukan Lahad Datu di sini, Sabtu malam.

Festival kali pertama dianjurkan pada tahun ini dirasmikan oleh Menteri Pembanguan Infrastrukur negeri Datuk Peter Anthony mewakili Ketua Menteri Sabah.

Mohamaddin yang juga Anggota Parlimen Silam berkata festival ini dimeriahkan dengan pelbagai pengisian seperti jualan produk setempat, persembahan kesenian, permainan rakyat, karnival kerjaya dan pertandingan muzik akustik.

Beliau berkata selain seni dan budaya, Lahad Datu juga terkenal dengan destinasi pelancongan dan selamat untuk dikunjungi.

Katanya antara lokasi yang menjadi tumpuan pelancongan adalah Menara Kayangan di Gunung Silam, Lembah Danum, Taman Hidupan Liar Tabin dan Air Terjun Madai.

Dalam pada itu, menurut Mohamaddin kementeriannya telah merencana pelbagai program dan aktiviti dalam usaha memastikan sektor pelancongan, seni dan budaya di negara ini terus ke hadapan.

Katanya pada tahun ini, sejumlah 26.4 juta kedatangan pelancong disasarkan ke negara ini dengan pendapatan sebanyak RM84.9 bilion.

Sumber – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *