6 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Tawau

Enam buah rumah musnah dalam kebakaran awal pagi tadi di Jalan Damai.

TAWAU: Enam keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran berhampiran Taman Damai, Jalan Damai, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi itu, enam buah rumah jenis separuh kekal yang membabitkan keluasan 20×30 kaki musnah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.34 pagi.

Katanya, seramai 19 anggota dan pegawai bersama empat jentera termasuk EMRS digerakkkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.

“Operasi turut dibantu anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan enam buah rumah separuh kekal dan sudah musnah terbakar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba terus menjalankan operasi memadam menggunakan dua pancutan daripada sumber air tangki jentera bomba bagi mengelak kebakaran merebak ke kawasan lain.

“Setakat ini, kebakaran hanya melibatkan kehilangan harta benda sahaja dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku.

“Pasukan operasi menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 4 pagi,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *