Pelajar KV Keningau Johan & Naib Johan Robotik Kategori PikaBot Peringkat Negeri

KENINGAU : Dua pasukan pelajar yang terdiri daripada empat pelajar tahun satu semester pertama Kolej Vokasional Keningau telah berjaya menduduki dua tangga teratas bagi pertandingan robotik kategori PikaBot peringkat Sabah baru-baru ini.

Pertandingan tersebut yang berlangsung secara jarak jauh dikenali sebagai RERO Annual Championship (RAC) ataupun Kejohanan Tahunan RERO dimana RERO merupakan sejenis robot yang dibangunkan khas untuk melatih kemahiran pengaturcaraan.

Dengan pencapaian ini, kedua-dua pasukan ini akan mara ke peringkat kebangsaan yang berlansung di Negeri Sembilan pada 26 September 2023. Para pelajar ini telah dilatih oleh Encik Khalifa Affnan yang merupakan ketua unit teknologi maklumat dan komunikasi kolej tersebut.

Pasukan pertama terdiri daripada Harniaty Enn dan Dayang Nur Dhaniyah Ag. Musidi yang merupakan pelajar jurusan pendidikan awal kanak-kanak dan seni kulinari manakala pasukan kedua dianggotai oleh Sheilvie Crystal Stenlee dan Alley Alveela Kiflee @ Felix.

Pasukan ini masing-masing dinobatkan sebagai johan dan naib johan bagi kategori PikaBot dalam pertandingan tersebut yang bermula dari 24 Jun iaitu tarikh penghantaraan penyertaan sehingga 30 Julai iaitu tarikh pengumuman keputusan.

Pertandingan yang dilaksanakan secara jarak jauh ini memerlukan para peserta merakam video mereka memprogramkan PikaBot iaitu sejenis robot bergerak untuk bergerak mengikut laluan tertentu dan mengesan halangan.

Khalifa Affnan menjelaskan bahawa aktiviti ini merupakan salah satu aktiviti STEM yang dia laksanakan di kolej tersebut melalui projek Eureka Hub yang dilancarkannya beberapa tahun lalu.

Projek tersebut merupakan projek yang diwujudkan untuk melatih para pelajar dan guru menggunakan teknologi terkini seperti dron, pencetakan tiga dimensi, pengaturcaraan, teknologi digital dan robotik.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Christine Stanislaus Kinsik, memuji usaha para pelajar tersebut yang menunjukkan semangat mereka mempelajari sesuatu yang baru memandangkan mereka baru sahaja memasuki kolej itu pada awal tahun ini.

Dia juga berkata bahawa usaha ini adalah selari dengan perkhidmatan Ruang Daya Cipta (RDC) iaitu hab inovasi dan rekapcipta yang telah dilancarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada bulan Jun di kolej terbabit.

Hab itu yang terletak di salah satu bangunan kolej tersebut adalah dibina khas untuk komuniti setempat agar mereka boleh mengakses latihan dan teknologi tertentu yang mampu membantu mereka membangunkan projek sosial atau perniagaan mereka.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Video rakaman pasukan yang menjuarai kategori itu boleh diakses melalui pautan YouTube :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *