Jangan Bazir Duit Pindah Lapangan Terbang, Kerajaan Sabah Diberitahu

Seorang pakar pengangkutan berkata KKIA tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk mewajarkan pembinaan lapangan terbang baharu.

KUALA LUMPUR : Sabah mempunyai banyak isu yang lebih mendesak untuk diberi perhatian berbanding penempatan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), kata seorang pakar.

Perunding pengangkutan, Rosli Azad Khan, berkata dalam tempoh beberapa minggu lalu, KKIA menyaksikan purata 38 pendaratan dan 36 pelepasan, bermakna sebuah kapal terbang sama ada akan mendarat atau berlepas setiap 12 minit.

“Di lapangan terbang Heathrow UK, ia adalah sekitar satu (mendarat atau berlepas) setiap dua minit dan di Lapangan Terbang Changi pula satu setiap empat minit,” katanya kepada FMT.

Oleh itu, Rosli berkata, lapangan terbang baharu bukan keutamaan bagi Sabah. Sebaliknya, beliau berkata kerajaan harus membangunkan rangkaian kereta api negeri.

“Jabatan Keretapi Negeri Sabah (SSR) memerlukan lebih banyak sumber, laluan baharu dan kereta api baharu untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan menurunkan kos logistik. Pelaburan dalam SSR akan lebih menguntungkan Sabah.

“Perumahan, termasuk untuk setinggan, bekalan elektrik dan air, jalan luar bandar dan pengangkutan awam untuk Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, antara perkara segera yang diperlukan rakyat Sabah,” katanya.

Pada Isnin, Qhazanah Sabah Bhd (QSB) mengumumkan hasil kajian kebolehlaksanaan mengenai cadangan penempatan semula KKIA akan dibentangkan kepada Unit Perancang Ekonomi Sabah hari ini.

QSB, cabang pelaburan strategik kerajaan Sabah, menandatangani memorandum persefahaman dengan pemaju hartanah Berjaya Land Bhd pada Jun tahun lalu untuk meneroka pemindahan KKIA ke Kimanis.

Sementara itu, Adun Moyog, Darell Leiking, berkata beliau tidak bersetuju untuk memindahkan lapangan terbang tersebut kerana ia akan menjadi sukar dan mahal bagi pelancong, khususnya mereka yang berada di luar Kota Kinabalu.

“Sebenarnya, untuk ke KKIA dari Kota Belud, Tuaran atau Ranau sudah menelan kos tinggi dan memakan masa.

“Lapangan terbang sekarang terletak di lokasi strategik dan berdekatan kemudahan serta perkhidmatan kerajaan, termasuk hospital utama negeri. Model Malaysia Barat, seperti Terminal 1 dan 2 KLIA, tidak boleh digunakan di Sabah, terutama Kota Kinabalu,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa sebaliknya harus mempertimbangkan langkah alternatif, termasuk kemungkinan memanjangkan landasan semasa dengan menambak laut berhadapan KKIA. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *