Hajiji Mahu Tuntutan 40 Peratus Disegerakan

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah mahu penyelesaian berhubung tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri itu disegerakan selepas perkara berkenaan turut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri berharap tuntutan berkenaan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan Persekutuan bagi membolehkan penyelesaiannya dipercepatkan.

“Untuk makluman juga, kita bagi pihak kerajaan negeri Sabah ada memohon pertimbangan terutama dalam penyelesaian 40 peratus pembayaran kepada Sabah itu juga mendapat pertimbangan yang sewajarnya.

“Jadi kita berharap supaya ini juga dapat diselesaikan dan disegerakanlah. Itu bagi pihak negeri Sabah,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, rundingan berhubung perkara itu diteruskan dengan mengambil kira kedudukan kewangan sebagaimana dalam perjanjian awal.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh Pemberian Khas interim RM1.5 bilion kepada Sabah bagi tahun ini sementara rundingan berhubung tuntutan berkenaan diteruskan.

“Untuk itu, saya telah bersetuju untuk menambah segera mulai tahun ini ke RM1.5 bilion sebagai langkah interim, rundingan diteruskan dan mengambil kira juga kedudukan kewangan sepertimana dalam perjanjian awal.

“Tapi kalau peningkatannya kecil, itu mungkin dipertikai. Jadi kita tunggu Belanjawan Parlimen bulan Oktober untuk kemudian meletakkan kertas dan kemudian menyerahkan jumlah RM1.5 bilion itu pada tahun ini juga, mungkin akhir Oktober atau awal November,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Persekutuan mengumumkan Pemberian Khas interim kepada Sabah dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion bagi tahun ini sementara rundingan mengenai mekanisme pemberian khas kepada negeri itu diteruskan.

Daripada jumlah berkenaan, Sabah sudah menerima RM600 juta pada Jun lalu, manakala kerajaan negeri sebelum ini memohon supaya baki RM900 juta disalurkan dalam tahun ini.

Tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah merupakan antara isu utama di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang terus menjadi perhatian kerajaan negeri dalam rundingannya dengan Kerajaan Persekutuan.

Mesyuarat MTPMA63 itu dipengerusikan Anwar dan turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *