PBS Tolak ‘Lamaran’ Warisan Bentuk Kerjasama, Kekal Bersama GRS

PBS menolak kerjasama dengan Warisan dan mahu kekal sebagai komponen Gabungan Rakyat Sabah.

KOTA KINABALU : Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak akan melayan sebarang “lamaran” membentuk kerjasama baharu bersama Warisan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata ketua penerangannya, Joniston Bangkuai.

Katanya, parti itu akan terus berjuang bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kesetiaan kita adalah kepada GRS kerana ini yang terbaik untuk kita maka, sokongan yang terkuat harus diberikan kepada gabungan ini.

“Sebagai parti tempatan yang sudah berusia 37 tahun, PBS akan terus menyokong gabungan yang selari dengan perjuangan parti ini,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Katanya, kekuatan yang ada pada GRS menjadikan musuh takut berdepan gabungan itu.

“Jika dilihat kepimpinan (GRS) juga cukup mendengar dan mengutamakan rakyat. Maka, dengan gabungan kepimpinan yang cukup berpengalaman, kita mampu tampil sebagai sebuah gabungan yang kuat,” katanya.

PBS kini sebahagian daripada GRS yang terdiri daripada Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu.

Semalam, Presiden Warisan Shafie Apdal menyatakan kesediaan untuk mengubah senarai calon pada PRU15, sekiranya kerjasama dengan PBS direalisasikan.

Menurutnya, kerjasama yang terbentuk bersama PBS dapat menguatkan lagi kedudukan kedua-dua parti itu sebagai parti tempatan dan juga parti yang mewakili masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di Sabah.

Pada 12 Ogos, Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua, berkata Warisan mahu bekerjasama dengan PBS kerana mereka mempunyai banyak persamaan, bukannya disebabkan takut bergerak sendirian.

“Tiada maknanya kalau kita bekerjasama dengan parti yang tidak ‘perform’ – sebagai contoh ketika zaman Warisan Plus dulu…saya tidak mahu katakan parti mana,” katanya.

Selepas PRU14, Warisan menerajui kerajaan Sabah menerusi Warisan plus yang terdiri daripada DAP, PKR dan Upko.

Namun, kerajaan itu tumbang pada pilihan raya negeri Sabah lalu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *