KOTA KINABALU : Wanita warga emas ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai keluar beriadah di kawasan pantai Tanjung Aru, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 73 tahun terbabit ditemui oleh orang awam kira-kira 6.30 pagi tadi sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Katanya, setibanya di lokasi, mangsa ditemui terdampar di Pantai Tanjung Aru 3 berhampiran Stesen Meteorologi Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta Proton Gen 2 dipercayai pergi ke kawasan pantai berkenaan untuk beriadah.
“Polis turut menemui kunci, dompet dan telefon bimbit ditinggalkan di dalam kenderaan berkenaan,” katanya ketika ditemui, di sini.
Katanya, mangsa dipercayai berjalan-jalan di pantai berkenaan sebelum rebah dan meninggal dunia.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut,” katanya. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost