Sabah Akan Bentang RUU Anti-Lompat Parti

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata pihaknya menyokong anti-lompat parti dan akan membentangkannya di Dewan Undangan Negeri tidak lama lagi.

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kerajaan negeri akan membentang rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan berkaitan anti-lompat parti pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, Kabinet negeri sudah bersetuju untuk membawa perkara itu ke persidangan DUN selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan yang menghalang wakil rakyat bertukar parti, baru-baru ini.

Beliau berkata, langkah itu sejajar komitmen kerajaan untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah setelah sekian lama berdepan keadaan politik yang tidak menentu.

“Kita menyokong anti-lompat parti dan kita akan bentangkan di DUN tidak lama lagi.

“Apa yang berlaku dulu itu, dululah, sekarang kita mahukan kestabilan politik di Sabah.

“Kabinet sudah bersetuju untuk membawa pindaan perlembagaan itu pada persidangan khas DUN untuk mewujudkan anti lompat parti supaya kita boleh tidur lena.

“Tidak lagi kena jaga sana sini, lompat sana sini, apa yang lepas cukuplah, kita mahu kestabilan politik,” katanya ketika berucap sempena pelancaran program jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Keningau.

Sementara itu, Hajiji berkata, Sabah mencapai satu lagi pencapaian iaitu penyerahan kuasa kawal selia tenaga elektrik dan bekalan gas daripada kerajaan persekutuan kepada negeri selewat-lewatnya tahun depan.

Katanya, agensi berkaitan dalam kerajaan persekutuan dan negeri sedang membuat tindakan susulan untuk persiapan dari aspek teknikal dan perundangan.

“Ini kerana hala tuju ini akan melibatkan proses perundangan di kedua-dua peringkat iaitu Parlimen dan DUN Sabah.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *