Terlalu Banyak Parti Di Sabah, Jeffrey Nasihat Peter Tidak Perlu Tubuh Parti Baharu

Presiden STAR, Jeffrey Kitingan berkata, terlalu banyak parti tempatan di Sabah ketika ini walaupun Peter Anthony menyatakan parti baharunya mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah.

KOTA KINABALU: Presiden STAR, Jeffrey Kitingan berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Peter Anthony yang mengumumkan keluar Warisan kelmarin tidak meneruskan hasratnya untuk menubuhkan parti baharu.

Ini kerana katanya, terlalu banyak parti tempatan di Sabah ketika ini, walaupun Peter memaklumkan parti baharunya itu adalah mesra kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Oleh itu, kita mempelawa Peter serta ADUN Limbahau, Juil Nuatim menyertai STAR, sekali gus menjalinkan kerjasama, khususnya dalam usaha menyatukan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) di negeri ini.

“Saya harap Peter tidak akan menubuhkan parti baharu dan itu jauh lebih baik kerana kita sudah mempunyai terlalu banyak parti politik dan parti yang sedia wujud ini boleh digunakan,” katanya selepas Majlis Apresiasi Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah 2020 dan 2021, di sini.

Sementara itu, Jeffrey berkata, beliau akan menemui Peter dan Juil bagi membincangkan pelawaannya.

“Ya, ada respons (daripada Peter dan Juil) dan mungkin saya akan berjumpa mereka petang ini,” katanya.

Semalam, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, mempelawa Peter dan Juil menyertai STAR.

Akan tetapi sehingga kini, belum ada respons daripada Peter mahupun Juil berhubung jemputan Jeffrey itu.

Kelmarin, Peter yang juga bekas Naib Presiden Warisan mengumumkan keluar parti bagi menubuhkan parti baharu yang mesra GRS, manakala Juil yang turut meninggalkan Warisan, belum membuat keputusan sama ada akan menyertai parti baharu Peter nanti. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *