Rakyat Sabah Ke Luar Negara Sebelum 28 Dis Perlu Dikuarantin – Hajiji

Kerajaan Sabah menyediakan perkhidmatan doktor berdaftar bagi menjalani ujian RT-PCR di pintu masuk KLIA secara percuma kepada rakyat Sabah yang menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Dis lalu

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan rakyat Sabah yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Dis lalu perlu menjalani kuarantin sekembalinya mereka ke Malaysia.

Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, mereka yang kembali ke Malaysia dibenarkan meneruskan perjalanan ke Sabah dan perlu menjalani kuarantin di negeri itu.

“Ia juga tertakluk kepada ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR) yang disahkan negatif sebelum bertolak ke Sabah.

“Kerajaan negeri akan menyediakan perkhidmatan doktor berdaftar bagi menjalani ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR) di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secara percuma kepada rakyat Sabah yang menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Dis,” katanya dalam kenyataan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri menyediakan penginapan kepada rakyat Sabah yang menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Dis, serta mereka yang disahkan positif perlu menjalani kuarantin di Kuala Lumpur.

Katanya, kerajaan juga akan menyalurkan bantuan melalui Yayasan Kebajikan Sabah dan diselaraskan bersama Pejabat Perhubungan Sabah di Kuala Lumpur.

“Bagi rakyat Sabah yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara selepas 28 Dis, sekembalinya ke Malaysia akan diwajibkan menjalani kuarantin tujuh atau 10 hari di Kuala Lumpur.

“Kos kuarantin, termasuk penginapan dan sebagainya ditanggung jemaah umrah atau ejen pelancongan umrah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya bagi rakyat Sabah yang pulang dari luar negara pula ditanggung sendiri.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *