
KUNAK: Tiga maut termasuk seorang kanak-kanak, manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki enam sekeluarga terbabas di Kampung Sungai Atas, Jalan Sungai Atas, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.05 petang itu, kereta berkenaan dipercayai terbabas sendiri sebelum kesemua mangsa ditemukan berada di luar kenderaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.05 petang sebelum menggerakkan empat anggota ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba kira-kira jam 6.10 petang dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas di atas jalan raya.
“Enam mangsa terbabit dalam kemalangan itu. Tiga disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala tiga lagi mengalami kecederaan.
“Tiada operasi menyelamat dilakukan kerana semua mangsa sudah berada di luar kenderaan ketika pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala tiga mangsa cedera dihantar ke Hospital Kunak menggunakan ambulans KKM.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.31 malam selepas keadaan di lokasi disahkan selamat dan tiada bahaya lain.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah