
SEMPORNA: Sebanyak 47 ayam sabung baka luar negara dipercayai diseludup masuk tanpa permit dirampas dalam serbuan di Kampung Tanjong Kapor, di sini, semalam.
Dalam operasi menerusi Operasi Intra/Inter Agensi (Op Bersepadu Khazanah-Op Taring Kandang) itu, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak, operasi dijalankan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) Cawangan Semporna.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek dipercayai menjalankan kegiatan menternak dan menjual ayam sabung baka import tanpa permit sah sejak tahun lalu.
“Ayam sabung terbabit dipercayai dijual pada harga sehingga RM8,500 seekor.
“Selain ayam jantan dan betina berkenaan, pihak berkuasa turut merampas peralatan gelanggang serta ubat-ubatan dipercayai dibawa masuk dari Thailand dan Filipina,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM288,650.
“semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada JPVS Semporna untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah