
KINABATANGAN: Sekumpulan 11 ekor gajah Pygmy Borneo termasuk seekor anak berjaya diselamatkan selepas terperangkap di dalam sebuah kolam air terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot di Ladang FGV Cepat Ringgit B, di sini.
Menurut kenyataan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, kejadian terbabit dipercayai akibat keadaan tebing kolam yang curam sekali gus menyukarkan kumpulan haiwan berkenaan keluar dari kawasan itu.
Melalui perkongsian pihak JHL di laman rasmi Facebook 5R Hidupan Liar, kejadian itu dipercayai berlaku pada 9 Mei lepas.
Kesemua gajah terbabit diselamatkan oleh pasukan JHL daerah Kinabatangan yang bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Pasukan bertindak membentuk laluan keluar yang lebih landai dan selamat bagi membolehkan kawanan gajah keluar dari kolam.
“Berkat usaha serta kerjasama semua pihak, kesemua gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius dilaporkan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, pihak JHL mencadangkan agar kolam terbiar itu ditutup atau dipasang halangan keselamatan bersesuaian bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.
JHL turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pekerja ladang yang menyalurkan maklumat awal sehingga operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan segera.
Tindakan itu membuktikan kerjasama antara agensi, pihak ladang dan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan hidupan liar terus terpelihara, khususnya spesies ikonik Sabah seperti gajah Pygmy Borneo.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah